Bismillaahirrahmaanirrahiim.
Allahumma solli ‘alaa sayyidinaa Muhammad Wa’alaa alihii wasohbihi Wassallim.
Ya Allah, Sesungguhnya kami bersyukur kerana Engkau hidupkan kami lagi hari ini, maka bukakanlah kepada kami pintu ketaatan kami kepadaMu dan akhirilah pula hari ini dengan pintu keampunanMu dan kerehdaanMu buat kami. Kurniakanlah kami segala amalan baik yang Engkau terima daripada kami, sucikanlah ia, gandakanlah ia untuk kami, dan seandainya kami melakukan kesilapan, maka ampunilah kami. Aamiin, aamiin, aamiin, ya Rabbal ‘Alamin
Ya Allah, Ya Hayyu, Ya Quyum, rahmatilah kami semua dan ampunilah dosa-dosa kami, dosa yang nyata dan dosa yang tersembunyi. samada yang kami sedari atau tidak. Dosa yang sengaja dan yang tanpa kami sedari. Kami sedar kami hambaMu yang lemah dan banyak dosa sedangkan amalan bekalan akhirat kami kurang. Bimbinglah kami ke jalan yang lurus yang Engkau redhai. Berkatilah kami, rahmatilah kami, berilah kami hidayahMu agar kami sentiasa dekat dengan Mu Ya Allah. Ya Allah panjangkanlah umur kami agar kami dapat meningkatkan ibadah kami dan ketaatan kami kepada Mu.
Ya Allah, mudahkan semua urusan kami dan kabulkan semua doa kami. Anugerahkan kami kejayaan di dunia juga kejayaan di akhirat. Jauhkan kami dari azab nerakaMu. Amin.
Ya Allah, Ya Hamid, Hindarilah kami daripada segala bentuk kejahatan bangsa jin dan manusia serta makhluk lainnya yang boleh memporak perandakan kehidupan kami. Ampunilah dosa- dosa atas ketelanjuran kami yg boleh mendatangkan kemurkaanMu. Bimbinglah kami, ampunilah kami, terimalah taubat kami.
Aamiin, aamiin, aamiin, ya Rabbal Alamin
Tiada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
Ya Allah, lindungi kami dari sebarang musibah.
Ya Razzaq, jadikan pagi ini pagi yang membukakan pintu rezeki buat kami.
Ya Fattah, jadikan pagi ini penuh dengan ketenangan dan yang memudahlan urusan kami.
Ya ‘Alim, sesungguhnya Engkau Maha mengetahui tentang diri kami, masalah yang kami hadapi. Kami mohon segala kekuatan dan kesabaran dalam menempuh ujian yang Engkau takdirkan kepada kami.
Ya Qabidh, kami mohon kegembiraan, kebaikan, dan keberkatan serta RahmatMu.
Aamiin, aamiin, aamiin Ya Rabbal’Alamiin.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Ya Allah, kurniakan kepada kami jiwa yang tenang, lapangkanlah hati kami dan jernihkanlah fikiran kami. Jauhi kami dari hati yang berbolak balik. Berkatilah usia kami serta luaskanlah rezeki yang berkat lagi halal. Eratkanlah silaturahim kami bersama semua sahabat kami serta persahabatan yang tulus dan ikhlas keranaMu Ya Allah.
Anugerahkan kami keluarga yang bahagia serta kehidupan yang sentiasa aman sejahtera
Ya Rahim. Aamiin, aamiin, aamiin, Ya Rabbal ‘Aalamiin.
Allahumma, Ya Ghany, Ya Wahhab, Ya Razzaq. Perkukuhkanlah iman kami, tali silaturahim kami, dan terimalah amalan kami yang tidak seberapa ini. Kurniakanlah kami usia dan rezeki yang diberkati serta hidup yang diredhai. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa-dosa kedua ibubapa kami, dosa- dosa pasangan kami, dosa- dosa anak- anak kami, dosa-dosa saudara- saudara kami, dosa- dosa guru-guru kami, dosa- dosa jiran tetangga kami. serta semua muslimin dan muslimat yang masih hidup dan yang telah meninggalkan kami. Selawat dan salam keatas junjungan kami Nabi Muhammad SAW. serta keluarga dan sahabat baginda sekelian.
Ya Allah, Ya Razzaq, Ya Mujib, permudahkanlah urusan kami hari ini dan selamanya. Bukakanlah pintu rezeki dan semua pintu-pintu kebaikan untuk kami. Sihatkanlah tubuh badan kami, jauhkanlah kami dari penyakit dan bala bencana.
Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang menjaga solat di awal waktu serta permudahkanlah urusan dunia dan akhirat. Aamiin.
Ya Allah, jadikanlah zuriat keturunan kami, hambaMu yang taat dan beriman serta yang bertaqwa. Anak-anak yang soleh dan solehah serta ahli masyarakat yang bermanfaat kepada dirinya, agama, negara dan bangsa.
Ya Allah, kami mohon kepadaMu semua kebaikan yang ada pada hari ini , iaitu, kejayaan, kemenangan. keindahan, perlindungan, keberkatan dan hidayah. Dan kami berlindung denganMu daripada segala keburukan yang ada pada hari dan segala keburukan yang selepasnya.
Ya Allah ingatkan kami agar sentiasa memuji dan memuliakan keagungan Mu.
Ya Allah, sucikanlah hati kami dan lembutkan hati kami agar kami senang menerima teguran dan ilmu.
Ya Haadii, tunjukkanlah kami jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepada kami dan kepada ibu bapa kami supaya kami dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau Redhai.
Amin.
Ya Allah sesungguhnya kami bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya kami adalah orang-orang muslim.
Ya Allah berikan kami sepasang mata yang mampu melihat kebaikan orang lain, sekeping hati yang mampu memaafkan kesalahan, minda yang mampu melupakan kepahitan dan jiwa yang tak pernah rapuh imannya.
Ya Allah ringankanlah beban kami dan permudahkan urusan kami.
Ya Allah, sesungguhnya tiada daya upaya dan kekuatan kami kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata. Ya Allah tetapkanlah iman kami kepadaMu dan RasulMu dengan sebenar-benar kepercayaan bahawa tiada yang sebenar- benar di sembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah. Kami bersyukur kerana Engkau telah menurunkan Al Quran dengan segala pengajaran yang di bawa oleh junjungan kami Nabi Muhammad SAW itu, adalah benar datang dariMu ya Allah. Ya Allah, jauhi kami dari mensyirikkanMu dengan sesuatu. Aamiin.
Robbana Aatinaa fiddun yaa hasanah wa fil aakhirati hasanah waqinaa adzaabannaar.
Amin Ya Rabbas Saailiin.