Erti Doa:
“Ya Allah, ya Tuhan! Sebagaimana Engkau himpunkan kami dan Engkau perlihatkan kami pada hari ini, berilah taufik kepada kami untuk mengingati dan memuji-muji kebesaran Engkau seperti mana yang telah Engkau tunjukkan kepada kami. Ampunilah kami serta kasihkanlah kepada kami sebagaimana yang telah Engkau janjikan kepada kami di dalam kitab Engkau al-Qur’an: (apabila kamu telah selesai menunaikan rukun haji kamu, iaitu berwuquf di Padang Arafah maka hendaklah kamu mengingati Allah banyak-banyak dengan menyebut-nyebut namaNya di Masy’ar al-Haram (Muzdalifah) sebagaimana yang telah diberi petunjuk kepada kamu, sesungguhnya kamu sebelum daripada mendapat hidayah petunjuk daripada Allah adalah di dalam keadaan sesat yang amat nyata. Setelah selesai kamu berzikir di sini turunlah kamu ke Mina seperti yang dilakukan oleh semua manusia dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Allah, bahawasanya Allah itu Amat Mengampuni dan Amat Mengasihani). Ya Allah, kami memohon kepadaMu Tuhan Yang Maha Pengampun dan Maha Belas Kasihan, terimalah segala permintaan kami, wahai Tuhan yang menerima segala permintaan mereka semasa dalam kecemasan. Wahai Tuhan, yang apabila menghendaki sesuatu, berlakulah perkara itu dengan tidak dapat dirintangi lagi. Ya Allah ya Tuhanku, kami datang beramai-ramai ini untuk mendapat keampunan daripada Engkau di atas segala dosa kami. Janganlah Engkau kecewakan kami….berilah kepada kami seperti yang Engkau berikan kepada hamba-hamba Engkau yang soleh. Janganlah Engkau palingkan kami daripada tempat suci ini, melainkan kami mendapat kemenangan dan tidak kecewa, tidak menyesal dan tidak pula kami daripada golongan orang yang sesat dan menyesatkan, wahai Tuhan yang Maha Mengasihani. Ya Allah, ya Tuhan! Berilah petunjuk dan taufik kepada kami Peliharalah kami daripada terjerumus dalam lembah kejahilan dan kemusnahan, selamatkan kami daripada segala penyakit jiwa, jadikanlah kami daripada golongan orang yang menjauhkan diri daripada runtunan hawa nafsu yang buas kerana itulah sejahat-jahat musuh yang berjangkit, ya Allah jadikanlah kami daripada golongan mereka yang sentiasa menghadapi Engkau dan tidak kepada yang lain. Bawalah kami ke jalan Engkau, kasihan belaslah ketika kami bertadharuk bersemadi terhadap Engkau. Ya Allah perbetulkam kami kiranya kami telah menyeleweng, teguhkanlah pendirian kami, hidupkanlah kami dalam iman dan taat kepada Engkau, matikan kami dalam Islam, dari golongan mereka yang bertaubat, begitu juga semasa soal di akhirat. Jadikanah kami daripada mereka yang menerima suratan amalannya dengan tangan kanan, jadikanlah kami daripada golongan mereka yang beroleh keamanan pada hari kiamat, berilah kesukaan kepada kami, ya Allah, dengan memandang kepada wajah Engkau Yang Mulia dengan berkat rahmat Engkau wahai Tuhan yang Maha Mengasihani.